Wednesday, January 12, 2011

RENCANA KOSMO : Sungai Semantan 'hidupkan' Selangor



KEHIDUPAN selama beberapa bulan tanpa bekalan air di rumah membuatkan keluarga Mohd. Zuki Yazid, 34 dan isterinya, Normah Abdul Razak, 33, terpaksa mengambil air bukit di Sungai Long, Kajang, Selangor yang terletak kira-kira 10 kilometer dari rumahnya.

Bekalan air ke rumah mereka telah dipotong beberapa bulan lalu kerana kesempitan hidup akibat kemalangan yang menimpa anak keduanya kira-kira lima tahun lepas.

Normah dan suaminya akan pergi ke bukit berkenaan untuk mengambil air setiap hari sejak bekalan air ke rumahnya dipotong.

“Bagi saya dan keluarga biarlah tiada elektrik daripada tiada air kerana air lebih penting untuk menguruskan kehidupan seharian. Air merupakan keperluan asas kepada kita untuk melakukan segala aktiviti seharian,” katanya.

Namun atas keprihatinan pihak Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dia diberi air percuma selama enam bulan melalui program Tabung Budi.

“Saya bersyukur sangat kerana keluarga kami terpilih untuk menyertai program tersebut. Keluarga kami akan menggunakan air dengan cermat dan tidak membazir kerana menyedari betapa berharga air untuk kami meneruskan kehidupan,” tambahnya.

Masalah yang dihadapi Mohd. Zuki dan Normah mungkin salah satu contoh kecil pengurusan air kediaman yang boleh memburuk dan menjadi isu yang lebih besar.

Daripada sebuah masalah keluarga yang tidak berkemampuan, kehilangan sumber utama itu boleh menjadi krisis yang lebih dahsyat. Kekontangan bekalan air mampu mencetus ketidakselesaan komuniti, melumpuhkan mekanisme perniagaan dan industri serta menjejas psikologi sosial.
MESIN NATM yang berfungsi menggerudi batu sepanjang projek PPAMPS.

Terpanjang di Asia Tenggara

Dalam senario terkini, faktor kepentingan air kepada penduduk dan kekurangan punca sumber air mentah di negeri Selangor pada masa depan telah mendorong kerajaan mengambil keputusan untuk menyegerakan pelaksanaan pembinaan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang - Selangor (PPAMPS).

Projek itu melibatkan dua fasa utama iaitu pertama, pembekalan air mentah dari Pahang ke Selangor termasuk terowong bawah tanah antara Karak di Pahang dan Hulu Langat di Selangor, serta kedua, pembinaan loji rawatan air di Hulu Langat.

Projek berimpak tinggi yang bernilai RM3.936 bilion itu dijangka siap pada tahun 2014. Apabila projek itu siap nanti terowong itu akan menjadi terowong air mentah terpanjang di Asia Tenggara dan yang keenam di dunia.

Pelaburan besar negara ke atas projek yang mengambil masa kira-kira empat tahun lagi itu penting kerana air merupakan keperluan penduduk.

Bagi Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, ketiadaan sumber air merupakan satu isu yang berat kepada pengguna.

Katanya, projek penyaluran air mentah dari Pahang itu akan memberikan impak yang positif kepada pengguna apabila ia siap kelak.

“Usaha yang dilakukan kerajaan itu sangat bermanfaat memandangkan bekalan air bersih amat penting untuk segenap lapisan masyarakat. Masyarakat Islam misalnya, memerlukannya untuk berwuduk, bersuci dan sebagainya,” ujar beliau.

Tambah Nadzim, pada masa yang sama, masyarakat perlu dididik untuk bertindak sebagai pengguna air yang berhemah.

“Kita perlu menghargai air kerana sebanyak manapun air itu disalirkan, jika ia tidak digunakan dengan sebaik mungkin, ia akan habis juga,” kata beliau.

TBM yang dibeli dari Amerika Syarikat mengorek laluan bawah tanah untuk saluran air.

Punca air

Menurut Pengarah Projek PPAMPS, Datuk Ir. Ismail Mat Noor projek tersebut bertujuan untuk menyalurkan air mentah dari Sungai Semantan di Pahang ke Hulu Langat, Selangor.

Jelas beliau, Sungai Semantan dipilih sebagai sumber untuk menyalurkan air ke Selangor kerana keupayaan sungai tersebut membekalkan air.

“Sungai Semantan merupakan sungai yang berpunca dari tiga sungai yang lain seperti Sungai Telemung, Sungai Kelau dan Sungai Bentong. Namun, untuk persediaan awal jika berlaku sebarang kemungkinan kami juga akan membina sebuah empangan di Kelau,” ujar Ismail.

Jelasnya, empangan di Kelau itu bertujuan untuk menyimpan air mentah untuk dibekalkan ke Selangor.

“Misal kata air di Sungai Semantan mengalami kemarau dan kekurangan air. Air dari empangan itu akan dilepaskan ke dalam terowong tersebut. Itu merupakan persediaan yang dibuat untuk menampung air jika kekurangan air di sungai itu,” ujar beliau.

Selain itu, Sungai Semantan turut dipilih kerana faktor kebersihan dan kualiti airnya yang masih boleh dirawat dengan mudah.

“Boleh dikatakan kebanyakan sungai di Pahang mempunyai kualiti air yang baik termasuklah Sungai Pahang.

Demi untuk menjayakan penyaluran air itu nanti mengikut masa yang ditetapkan, empat komponen utama terdiri daripada terowong penyaluran air, empangan Muka Sauk dan empangan Kelau, saliran paip berkembar dan Stesen Pam Air Semantan.

Terowong air mentah itu berkeupayaan membekalkan air mentah sebanyak 1,890 liter air sehari apabila siap kelak.

Teknologi canggih PPAMPS

Dengan status projek mega beberapa mesin berteknologi tinggi digunakan dalam proses untuk menyiapkan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang ke Selangor (PPAMPS).

Antara mesin yang berkhidmat dengan PPAMPS sehingga projek itu selesai ialah beberapa buah Tunnel Boring Machine (TBM), New Austrian Tunneling Method (NATM) dan Conduit.

Setiap mesin atau kaedah yang digunakan itu mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.

Pada 29 November yang lalu, TBM3 telah memulakan operasinya untuk mengorek terowong bawah tanah sejauh 11.2 kilometer (km).

Ismail berkata, projek terowong itu sahaja bernilai RM1.3 bilion bakal menyalurkan air mentah dalam lima tahun lagi.

Menurutnya, TBM3 atau juga dikenali sebagai Tiara Midori, melakukan kerja-kerja mengorek bersama dua lagi mesin pengorek iaitu Kamila (TBM1) dan Selpah (TBM2).

“Mesin pengorek Tiara Midori yang panjangnya 205 meter akan mengorek sejauh 11.2 kilometer dari sini (Semantan) dan ia mampu mengorek sejauh 1,000 meter setiap bulan.

“Mesin Tiara Midori akan beroperasi 24 jam menggunakan tenaga kerja sebanyak 20 orang untuk satu-satu syif,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya turut melakukan beberapa persediaan sebelum kerja mengorek bermula seperti menyelidik jenis batu.

“Jika batu jenis keras kita tidak perlu melakukan forepoling. Forepoling merujuk kepada teknik untuk menahan tanah atau batu dari runtuh di kawasan yang tidak kukuh,” jelasnya.
ISMAIL (kiri) menunjukkan replika TBM yang digunakan dalam proses menyiapkan terowong PPAMPS

Berdasarkan kajian awal, katanya, kira-kira 90 peratus dari kawasan yang bakal dikorek ialah kawasan berbatu keras.

Jelas Ismail untuk kawasan berbatu, pihaknya menggunakan mesin yang dikenali sebagai New Austrian Tunneling (NATM) beberapa meter sebelum TBM memulakan tugasnya.

“NATM adalah satu kaedah dimana satu mesin akan menggerudi batu di kawasan tersebut.

“Dalam projek ini, kaedah NATM hanya digunakan di Inlet (air masuk) dan Outlet (air keluar) terowong sahaja,” katanya.

Projek yang dijangka siap pada bulan Jun 2014 itu akan menyalurkan air mentah sebanyak 1,890 juta liter sehari.

Sebanyak empat syarikat terlibat dalam usaha sama itu seperti IJM Corp. Bhd., UEM Builders Bhd. Shimizu Co rporation dan Nishimatsu Construction Co. Ltd.

Projek itu diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan bagi memenuhi keperluan bekalan air di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

sumber : KOSMO ONLINE 10 JANUARI 2011

Tuesday, January 11, 2011

PENGGUNAAN DAN PENJIMATAN AIR

Sumber Air
Air adalah suatu anugerah alam yang paling berharga. Namun ia sering dianggap seolah-olah sebagai suatu sumber yang tidak akan putus (inexhaustible source) dan sering diambil mudah (taken for granted) dan dibazirkan. Sebagai suatu langkah berjimat cermat dan mengurangkan bil air, kita boleh mengamalkan tips berikut.

Memeriksa sama ada terdapat kebocoran
Kebocoran menyebabkan pembaziran air dan meningkatkan bil bulanan anda. Pemeriksaan yang kerap mengenai kebocoran hendaklah dilakukan seperti berikut:
1.       Periksa pili dan paip sama ada terdapat kebocoran.
2.      Pastikan tangki tandas tidak melimpah.
3.      Tutup kesemua paip di rumah anda dan periksa meter air.
4.      Sekiranya meter masih lagi berjalan maka ianya menunjukkan berlakunya kebocoran.
Petunjuk-petunjuk berlakunya kebocoran saluran paip bawah tanah di rumah anda ialah:
•        Terdapatnya kesan lembap di kawasan tanah di mana terdapatnya saluran paip.
•        Berlaku kekurangan bekalan secara tiba-tiba. (Tidak disebabkan oleh gangguan bekalan saluran utama).
Jika kebocoran dikesan, tutup "stop cock" yang terdapat di meter air dan hubungi tukang paip berlesen untuk membaiki kebocoran itu dengan segera.
Hentikan titisan
Titisan air yang laju dari paip dapat membazirkan air sebanyak 3,000 liter sehari! Pembaziran ini dapat dielakkan dengan:
•        Menutup paip dengan kemas.
•        Tukar sesendal.
•        Periksa pemasangan paip.
Tandas
Purata sebanyak satu pertiga daripada penggunaan air di rumah adalah untuk mencucur tandas. Tandas lama menggunakan sebanyak sembilan liter air atau lebih pada setiap cucuran. Tandas baru yang telah dikuatkuasakan penggunaannya, menggunakan tidak lebih dari enam liter air untuk setiap cucuran. Sekiranya anda bercadang untuk menukar tandas, pastikan tandas baru menjimatkan penggunaan air.
Jimatkan air semasa mandi
Banyak air yang dapat anda jimatkan semasa mandi jika anda:
•        Menghadkan masa mandi.
•        Mengawal penggunaan air semasa mandi.
•        Menutup paip semasa menyabun badan.
Jimatkan air semasa di dapur
•        Cuci sayur dan daging di dalam singki yang dipenuhi air separuh muatan. Anda dapat menjimatkan penggunaan air sebanyak lima belas kali ganda berbanding dengan penggunaan air paip yang mengalir.
•        Jika mencuci pinggan dengan cara yang sama, anda dapat menjimatkan penggunaan air sebanyak tujuh kali ganda.
Gunakan muatan penuh semasa membasuh dengan mesin pembasuh
•        Apabila membasuh pakaian dengan menggunakan mesin pembasuh, gunakannya dengan muatan penuh kerana jumlah penggunaan air adalah sama banyak sama ada muatan penuh ataupun separuh.
* Moral : Merancang adalah penting dan menjimatkan, anda mampu melakukannya!!!


Saturday, January 1, 2011

ARTIKEL-AIR DAN KITARAN


B
ayangkan tiada air untuk mandi, membasuh pakaian, minum bagaimanakah keadaan kita pada ketika itu?marah, sakit hati, menyumpah. Keadaan dia atas boleh dielak sekiranya kita sebagai pengguna memikul tanggungjawab yang sebenar-benarnya. Air merupakan sumber asasi penduduk di seluruh dunia. Benarlah kata orang tua kita “tak da api boleh lagi hidup, tapi takda air masalah-masalah”
            Di sini saya ada menerangkan serba sedikit masalah yang berlaku berkaitan dengan air,serta isu-isu semasa yang sedang hangat diperkatakan. Di antaranya adalah berkaitan dengan 9 lokasi menyelam popular ditutup, ditulis oleh Hamzah Osman di Berita Harian bertarikh 22.7.2010. Kita kupas sedalam-dalamnya mengenai penutupan 9 lokasi menyelam yang merupakan daya tarikan pelancong. 
            Kawasan bagi aktiviti meyelam terpaksa ditutup, ini kerana masalah kelunturan karang yang serius. Ini secara tidak langsung menyebabkan habitat laut yang lain tidak dapat hidup dalam keadaan yang baik. Cara yang terbaik adalah menutup sementara taman laut tersebut. Menurut Encik Abd Jamal Mydin selaku Ketua Pengarah Jabatan Taman Laut (JTL), penutupan itu merupakan cara yang terbaik untuk mengelakkan batu karang terus musnah. Jabatan terpaksa menutup kerana keadaan kelunturan karang sekitar 90%. Selain itu, tujuan lain adalah untuk menanam semula batu karang dan membina tukun tiruan. Di antara pulau-pulau tersebut adalahTeluk Wangi, Pantai Damai dan Coral Garden; Pulau Payar di Kedah; Pulau Redang-Teluk Bakau, Pulau Tenggol-Teluk Air Tawar, Pulau Perhentian Besar-Teluk Dalam dan Pulau Perhentian Besar-Tanjung Tukas Darat – Tanjung Tukas Laut (Terengganu), Pulau Chebeh dan Batu Malang serta Gugusan Pulau Tioman (Pahang).
Kesimpulannya di sini, sekiranya berlaku pencemaran air yang teruk, habitat laut lain juga akan turut meninggalkan kesan. Dalam kes ini, batu karang tersebut akan luntur dan akan memusnahkan habitat itu sendiri. Secara tidak langsung masalah dalam sektor pelancongan akan meninggalkan kesan negatif .Daya tarikan batu karang yang unik dan berbagai warna akan lenyap bergitu sahaja jika tidak dijaga. 
RUJUKAN
 

Sunday, December 26, 2010


Amanat Hargai Air Demi Alam Sekitar

Titisan air memberi harapan
Aliran air jamin masa depan
Anugerah Alam Untuk kehidupan
Hargailah air tanpa pembaziran

Dari awal sampai ke akhir
Sungai cemar jauh mengalir
Kerosakan Alam kita khuatir
Anak cucu kepupusan sumber Air

Anak monyet mati kehausan
Syabas diucap pandai berurusan
Alam sekitar amanah warisan
Iltizam penjimatan jadikan wawasan


Pengguna bijak membuat lawatan
Perbuatan membazir amalan syaitan
Perlakuan berjimat membawa keberkatan
Pertahan alam sekitar menjadi tuntutan

Air itu nikmat Allah
Guna ia dengan cermat
Hidup amal penuh barakah
Menjadi insan mendapat nikmat

Angin, api, air dan tanah
Kita tanggung amanah Allah
Jadilah hamba pemegang amanah
Taat dan akur pada perintah

Friday, December 24, 2010

ISU-AIR KITA DICEMAR DAN TERCEMAR?

 
Pencemaran air adalah suatu masalah yang tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat kita kini. Pencemaran sungai di Malaysia pula merupakan satu masalah alam sekitar yang semakin ketara dari semasa ke semasa dan sehingga sekarang masih tiada lagi suatu cara penyelesaian secara efektif yang dapat menangani masalah ini. Pembangunan pesat negara dan proses urbanisasi adalah antara penyebab utama yang telah membawa kepada perubahan penggunaan tanah bagi sesuatu kawasan bagi menampung keperluan kegiatan ekonomi, kemudahan-kemudahan sosial dan lain-lain infrastruktur yang berkaitan. Perubahan gunatanah ini telah mendedahkan sungai kepada pelbagai tekanan yang kadangkala tidak dapat ditanggung oleh sungai, yang secara langsung menyebabkan perubahan sistem sungai bukan sahaja dari segi kualiti tetapi juga kuantiti. Sumber air mentah di negara kita kebanyakannya diperolehi terus dari sungai utama dan empangan yang dibina untuk menyimpan air. Namun, kualiti air sungai di Malaysia adalah dalam keadaan yang semakin merosot akibat daripada pencemaran alam sekitar. 

Pencemaran sistem sungai yang berlaku di negara kita kebanyakannya adalah berpunca dari kelodak, pembuangan dan pelepasan sisa kumbahan dari kilang-kilang dan penempatan setinggan, di samping bahan lain seperti najis binatang, sampah sarap dan logam berat seperti arsenik, kadmium raksa dan plumbum. Dari sudut kajian hidrologi, pada amnya pencemaran air dapat diklasifikasikan kepada 3 jenis iaitu pencemaran fizikal yang merujuk kepada bahan tidak larut dalam air seperti sampah sarap daripada logam, kaca, kelodak dan kertas. Pencemaran biologi seperti najis binatang yang boleh menyebabkan kemunculan bakteria seperti Ezcherichia coli atau E Coli, cacing nematod dan mikrob lain manakala yang terakhirnya ialah pencemaran kimia iaitu bahan kimia terlarut yang terhasil daripada pencemaran fizikal dan biologi serta logam berat.
  Menurut kajian, kira-kira 70% masalah pencemaran sungai di Malaysia adalah disebabkan oleh pembuangan sampah dan kumbahan. Pembuangan sampah sarap, sisa buangan domestik dari kawasan perumahan, perkampungan, setinggan dan lain-lain petempatan telah menyebabkan kualiti air sungai terjejas.. Penggunaan air mentah yang tidak berkualiti boleh membawa mudarat kepada manusia. Contohnya, bakteria E-coli, cacing netamod, dan mikrob yang terhasil akibat pembuangan najis binatang ke dalam sungai akan membawa penyakit berbahaya seperti hepatisis, taun, disentri, demam kepialu dan kusta. Pembuangan najis binatang yang tidak sistematik banyak berlaku di negara kita terutamanya di negeri Sembilan dan Selangor. Ini telah menunjukkan bahawa masyarakat kita masih kekurangan kesedaran sivik dalam memahami pemeliharaan  dan pemulihan alam sekitar.
Susulan kepada jumlah permintaan air oleh pengguna yang kian meningkat berbanding dengan jumlah kualiti air mentah yang kian menurun, ketidakseimbangan ini lama-kelamaan akan menyebabkan kekurangan sumber air mentah yang sesuai dan selamat dapat dibekalkan kepada masyarakat, sebagai satu masalah besar yang akan dihadapi oleh negara.
Oleh itu, pada pendapat saya, tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah ini tidak harus dipikul oleh satu pihak sahaja malah masyarakat Malaysia juga harus bekerjasama dengan pihak kerajaan terutamanya dari segi sikap masyarakat yang tidak menjaga kebersihan sungai, supaya program pemulihan dan pengurusan sungai dapat dilakukan berterusan bagi menjamin kesempurnaan ke atas regim sungai dan persekitarannya. Dengan itu, setiap orang akan menghargai kepentingan dan kebersihan air yang sebetulnya.

Thursday, December 23, 2010

ARTIKEL PILIHAN-Kepentingan Air Kepada Manusia


Kepentingan Air Kepada Manusia
oleh Nur Hayati bt Khaja Nazimuddeen


Mungkin bagi kebanyakan kita, air seolah-olah tidak memainkan peranan yang begitu penting. Namun pada hakikatnya air, selain oksigen, merupakan bahan yang paling penting yang diperlukan oleh setiap manusia sepanjang hayatnya. Malangnya air sering diabaikan dalam diet, terutamanya di kalangan kanak-kanak. Dalam kajian yang dilakukan di Hong Kong  baru-baru ini, hanya 50 peratus daripada mereka minum air sebanyak lapan gelas sehari. Manakala, yang lain-lainnya hanya minum apabila berasa dahaga saja.

            Sebenarnya, kita perlu memberikan perhatian terhadap kebaikan minum air dan menggalakkan kanak-kanak berbuat sedemikian. Amalan minum air yang cukup akan dapat menghindarkan berlakunya pendehidratan dan mengekalkan amalan membuang air besar. Di samping itu, kesihatan kulit dan rambut akan terjaga.

           Kita memperoleh air daripada cecair seperti air paip, susu, jus buah-buahan, kordial, minuman ringan dan sup. Makanan seperti nasi, roti, mi, buah-buahan, dan sayur-sayuran turut mempunyai sedikit air walaupun tidak cukup untuk memenuhi keperluan cecair kita.
            
          Air membentuk kira-kira 55-57 peratus daripada berat badan kita dan mempunyai peranan yang penting dalam hampir setiap fungsi utama badan. Air melaraskan suhu badan di samping membawa nutrien dan oksigen ke sel, serta menghapuskan sisa. Air turut melindungi sendi serta mengawal organ dan tisu. Tanpa makanan, manusia dapat hidup selama lapan minggu, tetapi tanpa air manusia akan mati dalam masa tiga hari.
           
         Jumlah air yang hilang sebagai keringat adalah berbeza-beza antara seseorang dengan seseorang yang lain. Hal ini bergantung juga pada suasana sekitar, tahap kegiatan, dan saiz badan. Dalam kegiatan biasa, kita mengeluarkan kira-kira 500-600 ml peluh sehari. Input air perlulah sekurang-kurangnya sama dengan output air. Orang dewasa biasanya memerlukan air antara 8-12 gelas sehari. Jumlah air yang diperlukan oleh kanak-kanak pula bergantung pada umur, berat, dan kegiatan fizikal mereka. Oleh sebab saiz tubuh mereka adalah kecil, mereka akan mengalami pendehidratan yang cepat. Selain itu, keperluan air meningkat sekiranya kita banyak menghabiskan masa di luar rumah dalam cuaca panas, kerap bersenam, atau berada dalam bilik yang berhawa dingin.