Wednesday, December 8, 2010

RENCANA:KRISIS BEKALAN AIR-APA YANG KITA BOLEH LAKUKAN SEBAGAI PENGGUNA?



KRISIS BEKALAN AIR
APAKAH YANG KITA BOLEH LAKUKAN SEBAGAI PENGGUNA?



Sdr Pengarang,

Tujuan tulisan ini adalah untuk menyeru supaya para pengguna berjimat cermat dalam penggunaan air dan pada masa yang sama menyedari betapa kritikalnya keadan bekalan airnya yang sedang di hadapi diseluruh dunia termasuk di negara kita sendiri.


Kehangatan perhimpunan agong UMNO yang baru lalu sebenarnya seperti di iyakan oleh keadaan cuaca global dan tempatan ketika ini. Kita semua masih merasai bahangnya meskipun kadangkala hujan masih turun lebat mencurah. Malangnya, suasana dingin seperti tahun-tahun sebelumnya tidak lagi dapat kita nikmati.

Akibat krisis pemanasan global ini impaknya sudah dirasai sehingga negara kita yang sebelum ini tidak pernah memikirkan mengenai catuan air sudahpun merasai pengalaman berkenaan. Meskipun tidak lama, tetapi ia jelas menunjukkan bahawa kita sedang menuju ke arah krisis bekalan air sekiranya langkah yang ampuh serta bersepadu tidak dimulakan dari sekarang.

Pada tahun ini kita sudahpun mengalami krisis pertama yang berlaku beberapa bulan lalu di mana beberapa empangan besar di Selangor seperti Empangan Sungai Selangor, Sungai Tinggi, Semenyih, Sungai Langat, Klang Gate, Tasik Subang dan Empangan Sungai Batu menyusut ke tahap yang membimbangkan dalam tempoh singkat.

Beberapa negeri terpaksa mengambil langkah mengenakan catuan air sebagai langkah berjaga-jaga. Tindakan ini menyebabkan sudah ada pihak merasa tidak selesa, bayangkan sekiranya keadaan ini berterusan dan bekalan air tidak dapat dipulihkan semula. Benarlah kata bijak pandai bahawa suatu nikmat itu tidak dirasakan kepentingannya melainkan selepas kita kehilangannya.

Kepentingan air kepada masyarakat sejagat adalah amat kritikal. Air digunakan dalam setiap aspek kehidupan kita. Kerana itu, Rasulullah SAW pernah menegur perbuatan seorang sahabat bernama Sa’ad yang banyak menggunakan air ketika berwuduk. Lalu Sa’ad bertanya kepada Rasulullah adakah dalam soal berwuduk juga dikira boros. Lantas dijawab Baginda:

Pemborosan itu berlaku walaupun kita berada di dalam sungai yang mengalir sekalipun
(Riwayat Ahmad dan Ibn Majah)

Dalam kitaran kehidupan peranan air adalah sesuatu yang menjadi kemestian dan tanpanya kitaran itu gagal berfungsi dengan sempurna. Dalam kitaran berkenaan manusia, tumbuhan-tumbuhan serta lain-lain kehidupan dalam eko sistem ini akan berinteraksi dan saling berkongsi guna air. Manusia menggunakan air untuk segala jenis kegiatan mereka. Manakala tumbuhan pula perlu menggunakan air bagi tumbuh subur. Daripada tumbuhan yang subur menghijau itu pula oksigen dapat dibebaskan bagi digunakan oleh segala macam makhluk sebagai agen pernafasan.

”Dan engkau melihat bumi ini kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan, hiduplah bumi itu dan suburlah serta ia menumbuhkan pula berjenis-jenis tanaman yang indah dan permai.”

(Al-Hajj:5)

Dalam konteks geografi, negara kita Malaysia bertuah kerana mempunyai sumber air yang banyak dan pelbagai. Kerana terletak di garisan Khatulistiwa telah memberikannya taburan hujan sepanjang tahun yang berjumlah lebih dari 2,000 milimeter setahun di kawasan pantai barat,  sementara di kawasan pantai timur pula menerima secara purata sehingga 5,000 milimeter.

Selain sumber semulajadi dari hujan, Malaysia juga dirahmati dengan lebih dari 150 buah sungai yang merupakan sumber air mentah utama. Selain dari itu juga, terdapat ratusan lagi tasik semulajadi dan bekas lombong yang lokasinya bertaburan di seluruh pelosok negara.

Secara umum kalau kita merujuk daripada fakta-fakta yang tertera di atas, meskipun negara kita mungkin tidak menghadapi masalah yang besar dalam mendapatkan bekalan air tetapi kebarangkalian itu masih tetap ada. Ini kerana bekalan air hanya boleh diperolehi secara semulajadi. Kita boleh melihat rentetan peristiwa di bawah ini sebagai iktibar dan membuat muhasabah mengenai kemungkinan itu boleh juga menimpa berasaskan:

         i.            Krisis air di Lembah Kelang 1998
       ii.            Krisis air di Durian Tunggal, Melaka pada tahun 1991
      iii.            Beberapa siri pencemaran dari kawasan pelupusan sampah dan tumpahan minyak diesel ke dalam sungai yang menyebabkan bekalan air bersih untuk kegunaan domestik terganggu.

Untuk memberi gambaran sebenar mengenai betapa besarnya masalah yang bakal di hadapi oleh makhluk sejagat sekiranya isu ini tidak segera ditangani marilah kita tinjau beberapa fakta dan unjuran statistik yang berkaitan dengan sumber air. Fakta geografi mencatitkan bahawa bumi ini diliputi oleh 71% air. Malangnya, daripada jumlah itu hanya 2.53% terdiri daripada air tawar. Manakala yang lainnya adalah samaada airmasin dan dalam bentuk bongkah ais atau glasier. Fakta utama dan yang paling kritikal sekali adalah daripada jumlah berkenaan hanya sekitar 0.3% sahaja yang boleh dijadikan sebagai minuman kepada manusia dan haiwan. Fikirkanlah bahawa daripada jumlah 0.3% itu bukanlah sesuatu yang cukup besar untuk menampung kegunaan jutaan pengguna yang menghuni bumi ini.

Air yang mengalir ke sungai lazimnya berpunca dari kawasan perbukitan atau pergunungan berhutan tebal. Ketika hujan turun ke bumi, 30% akan diserap oleh tumbuhan, manakala selebihnya mengalir dipermukaan bumi dan diserap menjadi air bawah tanah. Sekiranya tidak terganggu oleh apa-apa aktiviti penebangan pokok dan penggondolan muka bumi maka jumlah ini akan terus seimbang.

Sebaliknya, jika keseimbangan ini diganggu dengan pelbagai aktiviti-aktiviti yang melampau ia mampu meningkatkan pengaliran air ke permukaan bumi yang tercemar dan boleh mengakibatkan banjir dan tanah runtuh. Air bawah tanah pula akan menjadi semakin berkurangan hingga menjejaskan kitaran air untuk digunakan kembali oleh kita semua.

Mari kita lihat, sebagai individu apa yang mampu kita lakukan sebagai sumbangan terhadap penjimatan kegunaan air ini. Menerusi kajian yang dilakukan bahawa kita hanya memerlukan sebanyak 50 liter air, atau lebih kurang 30 botol air mineral bersaiz 1 kg air sebagai keperluan asas untuk sehari. Daripada jumlah itu sebanyak 5 liter adalah untuk diminum, kebersihan peribadi sebanyak 20 liter, mandi sebanyak 15 liter dan penyediaan makanan sebanyak 15 liter.

Walaupun begitu, kajian juga membuktikan ada individu yang menggunakan air sehingga mencapai 500 liter atau bersamaan 333 botol air mineral bersaiz 1 kg sehari kerana tidak pernah mengawal penggunaan air dan mengamalkan sikap membazir seperti membiarkan paip air terbuka sewaktu mencuci kereta ataupun menyiram pokok bunga. Malah ada juga yang membiarkan air dibilik air tidak bertutup atau membiarkan air pili di sinki mencuci pinggan mangkuk terpasang sedangkan individu itu membuat kerja-kerja lain.

Menurut seorang pakar perunding, Dr K Kalithasan dari Pusat Alam Sekitar Global (GEC), penduduk Malaysia menggunakan antara 184 dan 500 liter air per kapita sehari dan kebanyakan pembaziran air ini berlaku di tandas dan bilik air. Mereka yang paling tinggi menggunakan air adalah terdiri daripada mereka yang tinggal di bandaraya dan pusat Bandar.

Adalah disyorkan bahawa langkah-langkah ringkas seperti dibawah dapat turut menyumbang kepada penjimatan dan pengekalan sumber air jika ia dipatuhi dan dilaksanakan oleh setiap orang daripada kita.

1.      Jangan membuang sampah atau apa sahaja yang boleh dianggap sisa buangan ke dalam sungai, parit, saliran, tasik atau laut.
2.      Kurangkan penggunaan bahan kimia dan racun perosak terhadap tanaman di dalam taman seperti rumput rampai dan pokok-pokok bunga.
3.      Sewaktu di bilik membasuh, jimatkan air dengan mengelakkan air paip mengalir secara berterusan.
4.      Gunakan baldi atau besen apabila mencuci pinggan mangkuk, makanan dan sebagainya.
5.      Ketika memberus gigi contohnya: gunakanlah hanya segelas atau secawan air. Jangan biasakan menggunakan air terus dari mulut pili yang mengalir deras. Sekiranya ini dilakukan bermakna kita telah membazir air sebanyak lebih kurang 9 liter seminit.
6.      Tutup paip air sewaktu memberus gigi atau bercukur. Air paip yang dibiarkan menitik boleh membazirkan 12,000 liter setahun.
7.      Penuhi mesin basuh dengan pakaian yang hendak dicuci. Jangan biarkan banyak ruang kosong. Cara ini dapat menjimatkan air sebanyak lebih kurang 23,000 liter air setahun.
8.      Kurangkan masa mandian secara shower. Mandi menggunakan baldi kecil atau penceduk adalah cara yang baik. Lebih kurang 17,000 liter air dapat dijimatkan sekiranya mandi dihadkan selama 5 minit sahaja.
9.      Setiap rumah terutamanya rumah orang-orang Islam perlu mempunyai sebuah kolam bagi menyimpan air hujan. Kolam tersebut mestilah melebihi saiz dua kolah supaya dapat berwuduk secara mencelupkan anggota selain dari dapat digunakan untuk kegiatan mencuci luar rumah seperti mencuci kereta, menyiram pokok tanaman, mencuci lantai dan sebagainya.
10. Negara kita menikmati 3000 mm hujan setiap tahun. Secara purata, sebuah rumah boleh menjimatkan 40% bersamaan 180,000 liter kegunaan air setiap tahun dengan air hujan yang dikumpulkan.
11. Berjimat sewaktu mengepam tandas. Tangki tandas yang menggunakan sistem pam separuh atau isipadu yang lebih kecil boleh menjimatkan 35,000 liter air setahun. Sekiranya menggunakan tandas model lama, letakkan bekas plastik berisi pasir atau batu-batu kecil ke dalam tangki. Bekas itu akan mengurangkan air untuk setiap pam tanpa menggangu keupayaan tandas tersebut.
12. Kurangkan kekerapan mencuci kereta. Memadailah seminggu sekali atau dua minggu sekali untuk mengelakkan pembaziran air. Kalau boleh, gunakan baldi dan bukannya hos untuk kerja-kerja pencucian tersebut.
13. Selalulah membuat pemeriksaan kebocoran terhadap tangki-tangki air yang terdapat di rumah. Cara ini mampu menghalang pembaziran beribu-ribu liter air sebulan.
14. Kitar semula dan guna pakai kembali air yang telah digunakan. Contohnya, tadah air mandian untuk digunakan untuk menyiram tanaman, air basuhan pinggan mangkuk untuk mencuci tandas dan sebagainya. Dengan cara ini, pembaziran air dapat dielakkan

Tindakan Kementerian Tenaga,Teknologi Hijau Dan Air (KeTTHA) melancarkan kempen Kesedaran Penjimatan Air Kebangsaan adalah merupakan satu tindakan pro aktif yang terpuji dan langkah yang amat tepat. Melalui hasil usaha berkenaan boleh menimbulkan kesedaran kepada masyarakat umum terutamanya rakyat di negara ini mengenai kepentingan air dalam kehidupan. Mungkin selama ini mereja tidak memahami nilai sebenar air dan kepentingannya kepada sejagat. Ia sangat bersesuaian dengan petikan ayat suci Al Quran berikut:

“Dan Kami telah menurunkan air hujan dari langit (dengan sukatan tertentu) serta Kami tempatkannya tersimpan di dalam bumi, dan sesungguhnya Kami sudah tentu berkuasa melenyapkannya”
                                                                                                          (Al-Mukminun:18)

Adalah menjadi harapan bahawa kempen ini akan dilanjutkan lagi dengan langkah-langkah seterusnya yang lebih efektif supaya bekalan air negara kita akan mampu diuruskan bukan sahaja dengan berkesan tetapi berupaya dijadikan ikutan oleh lain-lain negara.

Seluruh warga Malaysia yang prihatin, sebagai pengguna marilah kita bersama menyayangi air. Insafilah kepentingannya yang terlalu besar. Jangan biarkan dunia kita ini kian kontang disebabkan oleh sikap negatif dan buruk diri kita sendiri yang keterlaluan.

DR. AHMAD ZAKI B. ISMAIL
PENASIHAT PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA,
No: 70x, Jalan Keramat Hujung,
Bukit Keramat ,
54000 KUALA LUMPUR.

5 comments:

  1. air memg penting tapi memastikan kebersihan air juga perlu diutamakan.

    ReplyDelete
  2. salah satu cara untuk kita menjimatkan air ialah dengan menadah air hujan untuk kegunaan selain daripada memasak dan minum seperti gunakan air hujan untuk membasuh kereta......

    ReplyDelete
  3. gunakkan tindakan yang bijak ketika menggunakan air..mana2 pili yang bocor harus ditukarkan dgn segera mengelak pembaziran

    ReplyDelete
  4. ya...anda mampu mengubahnya agar kita dapat air yg berkualiti dan penjimatan dapat dilakukn...

    ReplyDelete
  5. org ramai tidak menjimatkan air kerana tidak fikirkan masa depan..

    ReplyDelete